Hadith Najd – Kebenaran Yang Digeruni dan Pembohongan Fakta

















Hadith dari Sahih Bukhari tersebut adalah seperti berikut (terjemahannya):
Ibn ‘Umar meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda (terus) berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Aku agak pada (permintaan) yang ketiga Baginda bersabda: “Padanya (Najd) (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan”

Hadith tersebut dengan jelas menyatakan bahawa tiada apa yang boleh diharapkan dari Najd kecuali mala petaka dan fitnah yang dahsyat serta tempat keluarnya tanduk shaytan.
Bagi menjustifikasi tempat yang dimaksudkan dalam hadith tersebut bukan terkena kepada kepada mereka yang gerun dilabel dari pengikut ajaran berasal dari Najd, mereka akan cuba mencari helah serta memalsukan fakta agar Najd itu diterjemahkan sebagai terletak di Iraq bukan di Hijaz Arab.
Bagi orang-orang arab dari zaman dahulu lagi, Najd memang difahami bahawa ianya ialah tanah tinggi sebelah timur Madinah di tengah-tengah Hijaz. Dan sememangnya terdapat tempat yang bernama sedemikian sejak dari zaman itu lagi. Malah di zaman Rasulullah s.a.w. telah pun berlaku Peperangan (kecil) Najd pada tahun 4H.

Najd memang tempat mula berlaku fitnah dan kacau-bilau pertama
Kemudian disabitkan pula dalam hujahan mereka dengan Iraq kerana di Iraq itu berlakunya pelbagai peperangan, pembunuhan dan sebagainya termasuk yang dikaitkan dengan pembunuhan cucunda Rasulullah s.a.w. dan kejatuhan kota Baghdad oleh Tartar.
Begitu juga dengan fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam, bermula dari zaman Sahabat sehinga ke hari ini, kebanyakannya berpunca di Iraq. Gerakan bughah (penentang khalifah), Khawarij dan Syiah pada zaman Khalifah ‘Uthman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhuma yang menjadi punca tercetusnya fitnah perselisihaan di kalangan umat Islam bermula di Kufah. Begitu juga Perang Jamal, Siffin, Nahrawan, fitnah pembunuhan Husain cucunda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, fitnah Mukhtar Ath-Thaqafi yang mendakwa kenabian dan serangan tentera Tartar pada zaman kerajaan Bani Abbasiyyah, semuanya berlaku di Iraq.

Jelas yang amat ketara mereka ini sengaja melupakan peristiwa yang lebih besar dan lebih awal dari peristiwa-peristiwa yang beliau petik iaitu peristiwa pemberontakan Musailamah al-Kadzab. Pemberontakan itu adalah antara yang pertama berlaku selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Apakah pemberontakan Musailamah itu lebih kecil lagi dari perselisihan yang berlaku di zaman terkemudian?
Kenapa “peristiwa Musailamah” ini cuba diperkecilkan oleh mereka? Sebenarnya Musailamah al-Kadzab ini juga dari Najd. Ini jelas sekali puak mereka ini berusaha sesungguhnya untuk mengelakkan peristiwa besar pemberontakkan Musailamah yang tempat asalnya juga Najd dikaitkan dengan Hadith Najd yang amat digeruni mereka.

Garis gempa bumi – “Najd Fault System”
Disebutkan dalam hadith tersebut peristiwa yang akan berlaku antaranya ialah gempa bumi. Dan dikatakan mereka yang gerun dengan hadith Najd ini bahawa Najd tidak pernah berlaku gempa bumi.
Pertamanya, dari sudut tidak pernah berlaku tidak menjamin gempa tidak akan berlaku.
Keduanya, tidak terletak digarisan yang kerap berlaku gempa tidak juga menjamin gempa tidak akan berlaku.
Namun, kedua-dua hujah yang diguna di atas ialah satu lagi contoh mereka gemar memalsukan fakta.
Di tengah-tengah negara Saudi terdapat satu garisan “fault” yang berpotensi untuk berlaku gerak gempa yang para ahli geologis memanggil garisan itu dengan nama yang mereka geruni – Najd Fault System. Malah satu letupan gunung berapi pernah tercatat pada tahun kurun 13 masehi. Dan gegaran yang terakhir dikesan dari “fault-line” ini ialah pada tahun 1999.

Walaubagaimanapun, jika tiada “fault system” di kawasan Najd pun apakah kita boleh jamin 100% bahawa gempa tidak boleh berlaku? Apakah pula kemungkinan gempa yang disebut dalam hadith itu sebagai suatu gambaran kepada peristiwa lain yang mengambarkan suasana seolah-olah gempa yang berlaku yang menjadikan masyarakat dan segala sistem perjalanan hidup kacau-bilau?

Hadith Albani disandarkan untuk mengantikan Hadith Najd dengan perkataan Iraq
Hujah yang dipegang kuat oleh mereka bagi mengatakan hadith tersebut sebenarnya dimaksudkan sebagai Iraq dan bukan Najd disandarkan kepada hadith yang dikeluarkan oleh Albani. Tidak ada seorang pun pengumpul hadith yang besar meriwayatkan hadith tersebut dalam kitab-kitab mereka.
Dan selain dari menukarkan Najd kepada Iraq, hadith Albani itu ditokok tambah lagi mengaitkan keberkatan kepada Mekah dan Madinah di samping Syams dan Yaman.

Apa kaitan Najd dengan Riyadh?
Dalam tulisan ini saya kerap mengguna perkataan Riyadh bersilih-ganti dengan Najd. Nanti ada pula yang menuduh apakah saya tidak tahu bahawa itu adalah dua perkataan yang berbeza. Nanti ada pula mereka yang menuduh saya tidak tahu fakta.
Sebelum saya dituduh sedemikian dan bagi mereka yang kurang tahu kedudukan bandar-bandar dan wilayah di Saudi biar saya perjelaskan di sini.
Bandaraya Riyadh lahir dan membangun hasil dari mula pemerintahan gandingan kuasa keluarga Ibn Saud dan Ibn Wahhab. Ianya terletak di wilayah yang dulunya dipanggil sebagai Wilayah Najd. Namun kini, wilayah tersebut telah turut ditukar (saya tidak dapat mencari tarikh penukarannya) dan secara rasminya kini dipanggil Wilayah Riyadh.
Dan Muhammad bin Abdul Wahhab sememangnya lahir dari sebuah perkampungan di daerah atau wilayah Najd itu. Dan begitu juga dengan Musailamah dari daerah yang sama.
Sememangnya sejarahwan terdahulu menggelarkan Muhammad bin Abdul Wahhab ini dengan panggilan Muhammad al-Najdi.

Penutup
Apakah yang sebenarnya mereka takut dengan hadith Najd ini? Apakah mereka gerun jika tempat timbulnya ajaran baru Wahhabi dari Najd ini dikaitkan dengan Musailamah dan dikaitkan pula dengan erti “tempat terbitnya tanduk syaitan?
Saya serahkan kepada para pembaca budiman untuk membuat rumusan sendiri. Bagi saya, setakat fakta yang mampu saya cari dan diberi pertunjuk, saya yakin dan percaya tanpa syak bahawa hadith yang dibicarakan ini memang dimaksudkan kepada ajaran bawaan Muhammad Abdul Wahhab ini.
WalLahu’alam

Ulasan

Catatan Popular